QARI DAN QARIAH MALAYSIA JOHAN TILAWAH AL QURAN PERINGKAT ANTARABANSA KE 53

July 24, 2011



AMIRRAHMAN dan Suraya bersama piala serta hadiah kemenangan masing-masing selepas diumumkan johan qari dan qariah Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-53 di Pusat Dagangan Dunia Putra, malam tadi. 
Amirrahman peroleh 89.26 peratus, Suraya 88.33 masing-masing bawa pulang RM32,200 


KUALA LUMPUR: Qari dan qariah Malaysia, Amirrahman Abas dan Suraya Abu Hassan masing-masing muncul johan qari dan qariah Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-53 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam tadi.


Dengan kemenangan itu, mereka yang juga johan kategori masing-masing pada Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-54 di Kuching, Sarawak, baru-baru ini, membawa pulang hadiah wang tunai RM32,200, piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan disampaikan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Amirrahman memperoleh markah 89.26 peratus manakala Suraya mendapat 88.33 peratus. 


Sementara itu, Saudi M Gandisa dari Filipina (88.67 peratus) dan Noor Khalidah Kaspul Anwar (88.3 peratus) dari Indonesia masing-masing muncul naib johan qari dan qariah yang melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM22,400, cenderamata dan sijil penyertaan. 



Tempat ketiga dimenangi qari Mesir, Abdel Basit Mohamed (87.88 peratus) dan qariah Singapura, Nur Azizah Sholichin (86.17 peratus). Mereka membawa pulang wang tunai RM13,600, cenderamata serta sijil penyertaan. Peserta lain menerima hadiah sagu hati iaitu wang tunai RM4,800, cenderamata dan sijil penyertaan. 



Majlis tilawah yang bertemakan Persefahaman Asas Perpaduan Ummah itu berlangsung selama lapan malam sejak 16 Julai lalu, disertai 81 peserta dari 50 negara termasuk 50 qari, antaranya dari Sri Lanka, Sudan, Thailand, Senegal, Bosnia-Herzegovina, Croatia, Iraq, Iran, Bangladesh, Mauritius serta Gambia. 

Turut berangkat menghadiri majlis ialah Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun; Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng. 



Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalannya, Datuk Dr Mashitah Ibrahim. – BERNAMA 

You Might Also Like

0 ulasan





Terima Kasih Meninggalkan Komen Dekat Blog Cik Ash..

InsyaAllah Nanti Cik Ash Balas Kunjung Balas Bila Ada Masa Terluang


LIKE US ON FACEBOOK

>

PURPLE AWESOME 2017